9 Kesilapan Yang Biasa Dilakukan Amatur Ketika Senaman Di Gym


Jika 10 tahun dahulu, agak sukar untuk melihat lelaki-lelaki 'sado' di mana-mana sama ada di shopping mall atau media sosial. Memang ada, tetapi tidaklah seramai seperti sekarang. Industri kesihatan di Malaysia masih sedang berkembang, jika hendak dibandingkan dengan negara-negara maju lain seperti Amerika Syarikat dan Australia. Namun, sejak kebelakangan ini, kita boleh nampak, ramai yang sudah berbadan sasa dan tegap lebih-lebih lagi di Facebook dan Instagram. Mungkin disebabkan oleh pertambahan pusat senaman atau gym di serata Malaysia menyumbang kepada ramai jejaka 'sado'.

Semua jejaka sasa yang ada sekarang ini pasti bermula sebagai jejaka biasa, sama ada kurus atau gemuk. Mesti ada titik permulaannya. Dan boleh dikatakan hampir kesemua daripada mereka pernah melakukan kesilapan ketika masih baru berjinak-jinak di dalam sukan ini. Ya, ada bagusnya juga jika kita membuat kesilapan kerana dari situlah kita akan belajar dan menjadi lebih baik.

Namun, terdapat beberapa kesilapan yang boleh dielakkan dengan mempelajari daripada kesilapan orang lain yang terdahulu. Terdapat beberapa kesilapan amatur yang biasa dilakukan oleh orang baru di gym yang boleh mempengaruhi hasil senaman.

Berikut 9 kesilapan yang biasa dilakukan amatur ketika senaman di gym :

1. Mengangkat menggunakan ego

Boleh dikatakan ini antara kesilapan yang paling besar dilakukan. Mengangkat besi dengan menggunakan ego adalah tindakan yang sangat salah. Anda mungkin cuba ingin menunjuk-nunjuk kepada rakan anda atau orang lain di gym dengan mengangkat beban yang lebih dari kemampuan anda. Namun apa yang terjadi adalah sebaliknya.

Tidak ada apa yang lebih kelakar daripada melihat budak baru mengangkat berat berlebihan dengan teknik yang salah semata-mata untuk menunjuk-nunjuk. Rakan-rakan anda mungkin kagum dengan anda, tetapi realitinya adalah anda meletakkan diri anda dalam keadaan bahaya kerana anda sangat terdedah kepada kecederaan otot.

2. Teknik yang salah

Mengangkat berat menggunakan teknik yang salah hanya akan menyebabkan kecederaan dan juga tidak akan memberi hasil kepada badan anda. Ramai yang telah berbulan menghabiskan masa berhempas pulas di dalam gym namun tidak mendapat hasil yang diinginkan. Ini mungkin kerana menggunakan teknik yang salah.

Bagi senaman yang lebih advanced, seperti squat atau lunges, ia amatlah berbahaya jika dilakukan tanpa mengetahui teknik yang betul, kerana boleh membahayakan lutut dan tulang belakang. Sebagai contoh, kesilapan melakukan regangan di permulaan senaman, yang sepatutnya dilakukan selepas tamat senaman. Solusinya, jika anda kurang tahu, rajin-rajinlah bertanya kepada mereka yang lebih berpengalaman. Dengan cara ini anda akan lebih cepat mempelajari teknik yang betul.

3. Bersenam terlalu kerap

Disebabkan menginginkan hasil yang cepat dan ketara, anda cenderung untuk bersenam secara kerap. Rasionalnya adalah jika kita kerap bersenam, maka badan kita juga akan cepat menampakkan hasil. Namun, fakta itu sangatlah meleset. Bagi yang masih baru, untuk menghasilkan otot, badan kita memerlukan rehat yang secukupnya kerana ketika badan kita sedang berehatlah bermulanya pembaikkan otot yang aktif. Melainkan anda sudah mempunyai pengalaman, itu tiada masalah.

Jika anda bersenam setiap hari tanpa rehat yang secukupnya, anda seolah-olah mendera badan anda tanpa memberikan masa untuk membina otot. Sebagai contoh, jika anda hari ini anda bersenam pada bahagian dada, anda mungkin akan berasa sakit di bahagian tersebut keesokan harinya. Pastikan otot dada sembuh sepenuhnya sebelum mengulangi latihan. Jika badan anda terlalu sakit atau letih, rehat dahulu dan ambil cuti dari bersenam. Dan ingat, otot anda dibina ketika anda tidur, bukan ketika anda bersenam.

4. Hanya bersenam otot-otot tertentu

Umumnya, ramai yang hanya mengagumi mereka yang 'sado' kerana mempunyai dada yang tebal serta lengan yang besar dan padat. Ini kerana tarikan kedua otot ini lebih dominan daripada otot-otot yang lain. Jadi perkara ini sudah tentulah memberikan idea yang salah kepada mereka yang baru. Ramai yang bersenam dengan hanya memberi tumpuan kepada otot dada (pectorals) dan tangan (biceps dan triceps).

Lalu, mereka mengabaikan otot-otot lain seperti belakang, bahu dan juga kaki yang memainkan peranan penting untuk membina otot secara keseluruhan. Sebagai contoh, ramai yang mengabaikan bersenam otot kaki, kerana bagi mereka tidak ada apa-apa kepentingan. Tetapi realitinya, jika anda bersenam otot kaki dengan melakukan squat sebagai contoh, ia akan membantu tumbesaran otot-otot yang lain juga kerana ketika anda melakukan squat, badan anda akan merembeskan hormon testorsterone yang penting untuk proses pertumbuhan otot.

5. Mengharapkan hasil yang cepat

Kebanyakan orang yang bersenam atau workout mahukan hasil yang cepat. Kalau diberi pilihan, semua mahu menjadi 'sado' selepas seminggu atau sebulan bersenam. Ini perkara yang sangat biasa di kalangan mereka yang baru . Apa yang perlu anda tahu adalah proses untuk membina otot adalah satu proses yang memakan masa yang agak lama. Ianya bukan seperti membina rumah, boleh siap dalam masa beberapa bulan.

Bergantung kepada sasaran anda, hasil yang akan dapat juga berbeza. Terlalu ramai di antara mereka yang bersenam untuk beberapa bulan, namun berputus asa kerana usaha yang dilakukan tidak menampakkan hasil. Kesabaran adalah salah satu cabaran di dalam sukan bina badan ini. Bak kata orang, "benda yang baik itu datangnya secara perlahan."

6. Pemakanan yang tidak betul

Salah satu sebab mereka yang baru berjinak-jinak bersenam di gym, putus asa kerana tidak mendapat hasil yang diinginkan adalah kerana pemakanan yang tidak betul. Komponen yang penting untuk mendapatkan badan yang cantik adalah bersenam, pemakanan dan rehat yang cukup. Jika ada di antara salah satu perkara ini yang anda abaikan, jangan hairan jika usaha anda tidak berbaloi.

Anda sudah bersenam dengan betul dan rehat yang cukup namun jika pemakanan anda tidak betul, besar kemungkinan badan anda susah untuk menampakkan hasil yang baik. Lebihkan makanan yang sihat serta berprotein tinggi seperti ayam, daging, telur dan ikan. Serta vitamin, mineral dan fiber yang secukupnya.

7. Tidak meletakkan peralatan di tempat asal

Ini tidak ada kena-mengena dengan pertumbuhan otot, tetapi ia perlu juga diingatkan. Ia bukan sahaja masalah mereka yang baru, tetapi juga mereka yang berpengalaman. Ia bukan sahaja tidak beretika dengan meninggalkan alatan yang anda gunakan begitu sahaja tanpa meletakkannya di tempat asal, malah boleh mengundang bahaya kepada orang lain jika terpijak atau tersadung.

Jika anda mempunyai pembantu rumah tidak semestinya anda boleh sepahkan rumah sesuka hati. Jangan tinggalkan peralatan yang anda gunakan merata-rata. Ia adalah common sense. Dengan cara ini, orang akan lebih hormat kepada anda.

8. Bersosial terlalu lama

Ini salah satu kesilapan yang sangat ketara. Tujuan utama anda pergi ke gym adalah untuk mendapatkan senaman yang berkesan. Ya, gym adalah tempat yang bukan sahaja untuk bersenam tetapi juga untuk bersosial. Tetapi perlu diingat, jangan biarkan masa anda lebih banyak digunakan untuk bersosial daripada bersenam. Terlalu ramai yang berborak di antara set, dan akhirnya menghabiskan banyak masa dengan berborak daripada bersenam. Ini juga tidak sihat untuk orang lain yang sedang menunggu giliran untuk menggunakan peralatan yang anda gunakan.

Untuk mendapatkan senaman yang efektif, hanyalah memerlukan masa minimum 60 hingga 90 minit maksima, mengikut tahap senaman. Jika anda perhatikan orang yang berbadan sado, mereka hanya mengambil masa lebih kurang 45-60 minit di dalam gym, dan mereka kurang berborak dengan orang lain, bukan kerana sombong, tetapi kerana pentingnya menjaga masa senaman.

9. Tidak mempunyai perancangan

Apabila anda menjejakkan kaki ke dalam gym, anda sepatutnya sudah mempunyai perancangan apa yang anda perlu lakukan. Seperti kata pepatah "If you fail to plan, then you plan to fail". Mereka yang baru perlu ada perancangan terlebih dahulu supaya semuanya berjalan dengan lancar.

Mempunyai jurnal senaman atau nota adalah salah satu contoh bagus. Catatkan setiap senaman serta berat yang dilakukan bagi memudahkan anda melihat kemajuan anda. Dan dengan ini, ia juga dapat menjimatkan masa anda di dalam gym kerana anda mempunyai jadual apa yang perlu dilakukan. Ya mereka yang berpengalaman jarang dilihat membawa buku atau nota, ini kerana mereka sudah fasih dalam hal ini.

      Baca : 8 Cara Sederhana Untuk Memotivasi Diri Sendiri

ADVERTISEMENT
Kesimpulan

Ramai yang ingin mengubah penampilan diri dengan menjadikan gaya hidup yang lebih sihat berbanding sebelumnya sebagai pilihan. Mendaftar di gym untuk menguruskan berat badan adalah pilihan yang semakin popular. Namun anda perlu mendapatkan khidmat instructor yang berpengalaman untuk guide anda supaya senaman yang dilakukan mendatangkan hasil pada tubuh anda dan mengelak berlakunya kecederaan.

- Daku Amat
Author image
About the Author :

Terima kasih atas kunjungan serta kesediaan anda membaca artikel ini. Kritikan dan saranan dapat anda sampaikan melalui ruangan komentar.

Share This Article:

You might like these as well: