Sudah bersediakah anda menggalas tanggungjawab sebagai seorang suami? Justeru bagi bakal pengantin, persediaan asas yang merangkumi fizikal dan mental perlu ada sebaik sahaja anda menukar status daripada bujang menjadi suami.
Berikut 9 persediaan menjadi suami :
1. Sihat tubuh badan
Sebelum bergelar suami, pastikan tubuh badan berada dalam keadaan sihat. Seelok-eloknya buatlah pemeriksaan menyeluruh bagi mengenal pasti jika ada sebarang masalah.
Ini penting kerana selepas berkahwin, anda bukan sahaja perlu menjaga diri sendiri bahkan isteri dan anak-anak yang bakal lahir. Bagaimana ingin menjaga dan menyara keluarga jika anda sendiri tidak dalam keadaan sihat?
2. Kekuatan mental
Kekuatan mental paling penting dalam membina institusi kekeluargaan. Ia perlu berada di tahap terbaik bagi melancarkan kebahagiaan berumah tangga yang bakal dibina.
Selepas berkahwin, pasti akan datang pelbagai ujian dan dugaan dalam rumah tangga. Masalah ini mungkin datang daripada suami isteri itu sendiri ataupun orang luar. Jika mental tidak kuat, rumah tangga yang dibina boleh hancur dalam sekelip mata.
3. Menambah pengetahuan
Banyakkan membaca buku untuk membina pengetahuan bagi menjadi suami terbaik. Atau mungkin boleh bertanya terus kepada mereka yang berpengalaman. Sebagai seorang ketua keluarga,suami harus bijak menangani apa jua situasi agar tiada pihak yang tersinggung.
Perkahwinan bukanlah perkara suka-suka sebaliknya suami bakal memikul tanggungjawab yang lebih berat. Sebagai persediaan, seseorang lelaki harus mempelajari ilmu agama untuk dijadikan tiang kebahagiaan hidup berumah tangga.
4. Menyara anak isteri
Memang betul mengumpul wang adalah tanggungjawab suami dan tidak salah jika isteri membantu setelah mendapat keizinan suami. Namun sebagai suami, ada nafkah zahir kepada isteri yang dituntut dalam agama.
Jika masa bujang, lelaki hanya menyediakan bajet untuk diri sendiri, tetapi kini tidak lagi. Selain perlu menyara isteri, suami juga perlu membuat persediaan bagi menyambut zuriat yang bakal dikurniakan.
5. Perubahan sikap negatif ke positif
Setelah berumah tangga, lelaki harus terbuka melakukan perubahan sikap dari negatif ke positif. Singkirkan sikap yang boleh menghancurkan diri sendiri dan juga keluarga tercinta terutamanya sikap ego melampau.
Belajarlah untuk menjadi anak yang terbaik buat ibu, suami yang terbaik buat isteri, ayah yang terbaik buat anak-anak dan menantu yang baik untuk ibu bapa mertua.
6. Kemahiran buat isteri rasa istimewa
Lelaki juga harus mengetahui cara untuk membuatkan isteri rasa istimewa. Justeru suami perlulah bijak menyelami perasaan isteri agar kasih sayang sentiasa berpanjangan.
Dengar pendapat isteri dalam perhubungan, sering bertukar-tukar pendapat dan pandangan. Jika ada masalah rumah tangga yang mahu dibincangkan, mulakan dengan isu-isu semasa yang boleh dijadikan ‘ice-breaking’. Kemudian, barulah dimasukkan isu lain yang mahu disentuh.
7. Beri pujian kepada isteri
Beri pujian kepada isteri. Luahkan sahaja apabila dia kelihatan cantik dan bergaya. Puji-pujian ini dapat memberi semangat kepadanya untuk terus berkhidmat kepada anda.
8. Ingat tarikh penting
Sesiapa sahaja pasti gembira apabila dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah apatah lagi daripada orang yang tersayang. Tarikh-tarikh yang penting seperti hari jadi, hari ulang tahun perkahwinan merupakan hari yang paling penting dalam kehidupan wanita. Tidak perlu memberi hadiah-hadiah yang mahal cukup sebagai tanda ingatan.
9. Bijak memilih perkara yang dihajati isteri
Bukan semua hajat mereka perlu anda penuhi. Misalnya mereka berhajat mahu bercuti di luar negara tetapi anda tidak dapat memenuhinya. Cukuplah jika anda membawanya bercuti dalam negara seperti ke pulau atau tempat-tempat peranginan.
Walaupun hajatnya tidak dipenuhi, tetapi mereka masih gembira kerana masih berpeluang keluar melancong bersama anda, suami kesayangannya.