Tentunya bila tiba hujung tahun, ibu bapa akan sibuk untuk menyiapkan keperluan sekolah buat anak mereka. Ramai ibu bapa yang akan membelikan barangan keperluan persekolahan yang baharu buat anak mereka. Namun, ada juga yang hanya menggunakan kelengkapan lama dengan alasan ianya masih elok dan boleh digunakan lagi.
Sama ada kelengkapan baru atau lama, anak-anak ada ketikanya tidak kisah dengan semua itu. Ini kerana mereka sudah cukup gembira untuk kembali ke sekolah dapat bertemu dengan rakan mereka yang telah lama tidak berjumpa. Sudah menjadi kebiasaan buat mereka untuk beramah mesra pada hari pertama persekolahan.
Tetapi, bagi ibu bapa yang baru kali pertama mempunyai anak melangkah ke alam persekolahan, mungkin akan mengalami sedikit persoalan, apa kelengkapan persekolahan yang mana perlu dibelikan untuk anak-anak? Serta berapa banyak yang mereka perlu ada untuk sepanjang tahun persekolahan?
Berikut 7 kelengkapan persekolahan yang perlu disediakan ibu bapa untuk anak mereka yang bakal ke sekolah :
1. Uniform sekolah
Belilah 3 pasang kain yang berkualiti. Kain jenis cotton berkualiti, warna putih nila, tebal dan tak panas. Dalam bilik darjah tak ada aircond, menggeletik panas kalau tengahari rembang. Kalau beli kain yang ada campuran polyester, selepas rehat, baunya azab untuk cikgu dan rakan-rakan. Anak pun sudah tidak selesa nak belajar bila peluh merecik-merecik dalam baju.
2. Kasut sekolah
Cari jenis kain penuh dan sarung terus, tak perlu bertali atau 'velcro tape'. Beli 2 pasang, seminggu sepasang kasut. Wajib tulis nama anak kat tepi kasut. Ya, bukan dalam atau bawah tapi di tepi kasut. Bayangkan kalau kasut hilang, cikgu kena belek 1000 pasang kasut?
Di sekolah, anak akan masuk pusat sumber, bilik jqaf, surau, bilik pemulihan dan sebagainya. Semua tempat itu selalunya kena tanggalkan kasut. Bila kasut jenis sarung, anak tidak perlu duduk atas lantai koridor untuk pakai kasut dan ikat tali kasut. Uniform pun tak kotor.
3. Tudung sekolah
Beli yang awning lembut, putih nila, 3 pasang. Harga RM10 sehelai. Inner snowcap putih. Kalau tercabut keronsang pun tudung masih elok lagi dipakai di kepala. Tapi disyorkan, jahitkan cangkuk pada ruang muka, ganti keronsang macam shawl Cakenis itu.
Kalau tudung lain, cikgu tengok pun kesian. Betul, anak-anak ini kalau pakai elok-elok nanti di sekolah pun perangai bagus. Tidaklah nanti dia 'low self esteem'. Tak percaya, cuba tanya cikgu lain.
4. Beg sekolah
Beli yang padded straps. Serius. Tak kiralah harga berapa (ikut kemampuan masing-masing) tapi carilah yang 'padded straps'. Beg sekolah berat. Sebelum beli beg yang ada roda, periksa dulu kelas anak di mana. Kalau kelas bangunan bertingkat, tak payahlah troli tu. Kalau sekolah jenis banyak tangga (biasa sekolah terletak di bukit banyak tangga) tak payahlah.
Beg sekolah sekurang-kurangnya cari yang ada 2 compartment. Bukan yang ada satu ruang dan lembik. Kalau boleh, elakkan beli beg troli kalau anak bersekolah di sekolah ramai murid. Tak muat nak letak atas kerusi anak, nanti anak duduk tak selesa. Sipi-sipi saja bontot atas kerusi. Letak di tepi meja, risiko disepak atau tersepak oleh murid lain tinggi sebab ruang kelas sempit.
5. Botol air
Ya, betul. wajib ajar anak bawa bekal air. Belikan botol air yang 750ml ke atas untuk anak. paling-paling koman pun, beli saja air mineral yang jenis sport cap itu. Bukan bagi air 'kaler-kaler' ya.
6. Seluar dalam
Ramai anak pergi sekolah tak pakai spender. Tolong wajibkan anak pakai spender. 5 helai seminggu. Kalau yang perempuan, belikan seluar panjang cotton warna hitam atau blue black 3 helai. Kalau yang pakai pinafore, boleh belikan seluar paras peha kaler hitam, macam cycling pants.
7. Stoking
Minimum 3 pasang, dwiwarna. Lagi bagus kalau 5 pasang, sepasang sehari (ikut bajet masing-masing). Tapak hitam. Kain cotton elok, bukan cotton mix poly, sebab bila banyak bergerak dan panas, kaki cepat berpeluh.
Kalau stoking bukan cotton nanti kaki anak jadi gatal dan bau kepam. Sebab itu ada anak yang buka kasut dalam kelas, tergaru-garu sepanjang belajar. Pilih yang panjangnya paras buku lali sahaja, tidaklah merenyam betis bila panas berpeluh.